Wednesday, 17 July 2013

Lintasan hatiku


Pucuk pegaga tumbuh melata,
            Buah mangga di hujung julai;
Cinta umpama air mata,
            Suka duka tiada ternilai.

Indah nian Tasik Toba,
            Tempat berjumpa kasih bersemi;
Bisakah bulan jatuh ke riba,
            Andai cinta menggegar bumi?

Kacang panjang dimasak dalca,
            Rendang panas dimasuk serai;
Hatiku tuan umpama kaca,
            Jatuh terhempas habis berderai.

Bunga raya di dalam taman,
            Layu kuntuman gugur bunganya;
Kerana cinta ramai terkorban,
            Hidup berteman hati luka.

Ikan bakar sedap dimakan,
            Sedap dimakan kita bersama;
Bunga mekar sekuntum bukan,
            Kumbang bukan seekor cuma.

Bunga melati indah bertaut,
            Sundal malam harum menyengat;
Benarkah hati sudah terpaut,
            Siang malam nama teringat.

Pohon mawar tidak berbaja,
            Ditiup bayu layu terkulai;
Kala mekar bunga dipuja,
            Bila layu tiada nilai.

Corak cantik si kain cindai,
            Kain baldu tiada basah;
Ombak berbisik pada pantai,
            Engkau dan aku takkan berpisah.

Buah sawa di dalam guni,
            Enak rasa dari Melaka;
Dia di sana aku di sini,
            Entah bila bertemu muka.

Buah nanas bawa ke kota,
            Nanas dibawa di dalam peti;
Kilau emas butakan mata,
            Sinar cinta menipu hati.

Buah kelapa di atas pasir,
            Bunga melati dalam taman;
Rasa cinta sukar ditafsir,
            Misteri hati sepanjang zaman.

Bunga talang di atas dulang,
            Kalau kenal dipetik dara;
Cinta bergalang cinta malang,
            Kalau dikesal jiwa melara.

Pohon manggis tepi perigi,
            Melata labu seiring semalu;
Bukan ku tangis kasih yang pergi,
            Hati merindu cinta yang lalu.

Hijau sekali daun keladi,
            Daun keladi tiada berdahan;
Mana ku cari cinta abadi,
            Cinta abadi mengesa Tuhan.

Ulu Bendul tempatnya nyaman,
            Bukit Putus jalan berliku;
Kalau betul hendaknya berteman,
            Hati harus sama terpaku.

Layunya lama bunga melati,
            Kenanga kian menguncup serata;
Sayunya jiwa luluhnya hati,
            Melihat tuan menanggung derita.

No comments:

Post a Comment